05 July 2014

Respon kepada Ku Nan. bugima!

tengah malam 5.7.2014, diana jb tegur aku kat fb. dia offer aku untuk bagi respon kepada kes Tengkun Adnan yang tengah kecoh nak saman orang yang bantu pengemis kat KL tu. diana ni wartawan sinar harian. dia offer untuk aku respon kepada kes ni. dengan kata mudahnya, aku akan merespon kepada Ku Nan di paper sinar harian. kalau kata keluar paper nanti respon aku tu, tak pasti pulak akan keluar nama aku ke tak. maklum saja lah paper ni, bab editing dia lain macam ketatnya. kalau tak keluar nama aku pun takpe, yang penting, point yang aku respon Ku Nan akan keluar paper nanti. itu lebih penting. kata nak spread mesej kan.hehe. aku teruja juga bila dapat offer ni. walaupun aku dah lama tak menulis, tp aku rasa mcm jadi tanggungjawab aku plak untuk respon pada kes ni. jadi, hasilnya, dalam keterujaan, tak perlu tunggu lama, aku hasilkan text kat bawah ni. tak panjang sangat pun. tp boleh la sebagai satu statement nak clearkan keadaan. aku tulis sebagai draf. kemudian, aku mintak hafeez benign suntik elemen subversif dalam tulisan aku ni. jadi, aku ishtiharkan ini tulisan bersama aku dan hafeez. walaupun hafeez tambah sikit jek sbenarnya.hehe. aku tulis ni masa game German lawan Perancis. habis game, aku pass kat hafeez. sambil sambil tunggu game Brazil lawan Columbia main, artikel ni siap ditulis. hari ni hari sabtu. ahad atau isnin keluar kat paper lah tulisan ni. kalau keluar la maksud aku. hehe. watch out!

====================================================

RESPON UNTUK KU NAN. 
oleh: dhani dan benign

- Golongan gelandangan bukan lah suatu hal yang alien di dalam masyarakat kita. Mungkin sebelum ini, ramai di antara kita yang tak sedar arus kemajuan bandaraya kita sekarang membangun bersama gelandangan.

 - Seperti apa yang Datuk Abdul Rahman Dahlan (Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan) katakan: "gelandangan adalah sesuatu yang normal berlaku di bandar besar".

- Hal ini telah pun dibukti dan dijuarai oleh Food Not Bombs Kuala Lumpur (FNBKL), yang telah pun wujud seawal tahun 2000, yang berperanan mengedar makanan dan minuman secara percuma kepada para gelandangan di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur.

- FNBKL yang pada awalnya bermarkaskan Kuala Lumpur, melalui aktiviti kemasyarakatan mereka, telah memacu satu wabak aktivisme yang baru didalam arena kesukarelawanan, dimana pengaruh dan kesannya dilihat mula melata secara subversif dan agresif, melalui kolektif-kolektif bawah tanah, ke negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, Johor dan lain lain, ternyata telah berjaya membuktikan bahawasanya hampir semua tempat atau negeri mempunyai populasi gelandangan.

- Umum tidak menyedari bahawa operasi-operasi pembasmian gelandangan dari pusat bandaraya sebagaimana yang disarankan oleh Ku Nan ini sebenarnya bukanlah kali pertama. Ini adalah kerana pada tahun-tahun sebelum ini bilamana sahaja Kuala Lumpur rancak menjadi hos kepada acara-acara sukan megamewah antarabangsa, kebanyakan gelandangan yang ada di sekitar bandaraya telah ditangkap dan disumbatkan sementara di dalam penjara Pudu diatas tujuan pembersihan. Ini adalah bagi menggambarkan Kuala Lumpur adalah sebuah bandaraya yang suci dan bersih dari segala jenis najis dan kotoran yang boleh dilihat dengan mata.

 - Cuba untuk menggalas tanggungjawab yang diabaikan oleh pihak-pihak berwajib, FNBKL, sebuah kolektif tanpa hirarki yang rata-ratanya dijenterai oleh anak-anak muda, menjadi suatu representasi atau refleksi terhadap kepincangan dan kejanggalan sosio ekonomi serta jurang miskin dan kaya yang jauh dari seimbang yang berlaku di negara kita.

- Kelompokan anak-anak muda yang berpayung dibawah sepanduk FNBKL ini juga, selain "menderma" makanan dan minuman (kadangkala pakaian bersih) secara percuma untuk para gelandangan, turut utuh didalam aktiviti kemasyarakatan mereka kerana bagi sebahagian besar daripada mereka, aktiviti “menderma” tersebut adalah aksi protes secara sinis terhadap kerajaan yang dilihat lebih senang berhabisan untuk tujuan ketenteraan sedangkan dicelah-celah ibu kota negara, masih terdapat ramai rakyat yang tidak mampu menikmati rutin makan mereka secara teratur. Dan ini adalah rakyat di ibu kota negara. Apakah kita pasti bahawa rakyat yang hidup jauh dari ibu kota negara benar-benar terbela nasib-nasib mereka.

- Kerana itu anak-anak muda ini mengibarkan slogan FOOD NOT BOMBS!

- Untuk mencadangkan agar penderma-penderma dan samaritan-samaritan mulia yang memilih untuk berkongsi kemudahan yang mereka ada dengan golongan gelandangan ini adalah cadangan yang sangat tidak bijak. Dengan kemampuan kewangan yang ada, kita yakin kerajaan dapat melakukan sesuatu yang lebih baik didalam menangani episod sekitar gelandangan ini. Namun untuk menghukum mereka yang secara sukarela menjalankan tanggungjawab yang sepatut dan sewajibnya digalas oleh kerajaan, bukanlah pilihan yang matang dan intelektual.

- Namun begitu, kerajaan tidak boleh mengambil langkah mudah untuk membasmi rakyat yang kurang bernasib baik persis pembantaian etnik semata-mata untuk memperoleh manafaat jangka pendek. Majoriti golongan gelandangan ini adalah terdiri daripada rakyat (dan bukan rakyat) yang tidak mempunyai pekerjaan dan juga tidak punya tempat menginap. Jadi, kerajaan seharusnya menggembeling sesuatu yang lebih bijak untuk mengatasi perkara ini supaya satu penyelesaian kekal dapat diperolehi.
- Apa pun, isu gelandangan ini bukan lah suatu perkara boleh dianggap remeh. Bayangkan saja, hampir disetiap ibu negeri ada saja golongan kurang bernasib baik yang terpaksa tidur beralaskan lengan dan berbumbungkan langit. Ada saja mereka yang tidur di kaki lima dan tidak dibela keadaan mereka seadanya, maka keadaan ini akan berterusan tanpa penghujungnya.

- Nada-nada hodoh berkenaan dengan hal kebersihan yang disebabkan aktiviti menderma untuk para gelandangan itu juga harus ditempelak. Awam tidak mengetahui bahawa aktiviti mendistribusi makanan ini dijalankan secara bersama antara sukarelawan dan juga para gelandangan. Seawal dari proses penyediaan makanan, proses persediaan tempat, sehinggalah proses mendistribusi, ianya dilakukan secara bersama antara sukarelawan dan juga mereka yang hadir untuk makan. Malah, setelah selasai aktiviti juga, aktiviti mengemas tempat turut dilakukan bersama sama. maka, nada-nada sumbang berkenaan dengan kekotoran yang dimomokan oleh si bangsawan itu hanyalah cerita dongeng yang dicerita disebalik tirai emas semata-mata.

- Dari hal untuk menjaga kebersihan kawasan, kepada hal hendak menyaman penderma, kita beranggapan ianya adalah suatu hal yang sengaja digembar gemburkan oleh ahli politik untuk mengalih pandang mungkin dari isu lain yang lebih besar yang sepatutnya diberi perhatian. Mungkin. FNBKL telah pun melakukan aktiviti mendistribusi makanan ini sejak dari tahun 2000 sehingga sekarang tanpa sebarang masalah. Malahan, FNBKL adalah sebahagian dari komuniti yang cuba menjadikan Malaysia negara yang lebih baik untuk semua orang. Permainan apa yang sedang mereka mainkan?

2 comments:

tonny marezco said...

Infromasinya bagus,, saya berterima kasih untuk Anda

Lj said...

Best! \m/