Kontra-budaya Punk - Yunus Ali

Dalam realiti sosial, tidak ada satu bangsa satu budaya. Apatah lagi masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan yang terbuka kepada pengaruh global, maka berganda-gandalah budaya yang ada.

Masyarakat bangsa Melayu lama pun boleh dikenalpasti dengan beberapa budaya yang menghiburkan mereka: budaya istana dengan makyong dan bahasa istananya; budaya rakyat dengan joget dan tukang carutnya.

Justeru, dalam masyarakat mutakhir ini, janganlah hairan dan terkejut pula apabila bersua atau terserempak dengan beberapa budaya pada bangsa Melayu, dan juga pada bangsa-bangsa yang lainnya.

Kerana tidak memahami realiti sosial ini, maka ramailah yang pening kepala, berang, panik moral dan ada pula yang mengamuk apabila dihadapkan dengan persembahan kumpulan muzik punk ‘Carburator Dung’, dalam perhimpunan PROTES pada 6hb Julai 2008 yang lalu. Isu harga minyak naik ‘dah berubah menjadi naik minyak.

Sebenarnya, Joe Kidd dan kumpulan ‘Carburator Dung’nya tidak boleh dipersalahkan, meski menayang bontot sekali pun (atau banyak kali!), kerana apa yang mereka lakukan, itulah dia jati diri punk.

Punk ini bukan sahaja merupakan sub-budaya, tepatnya ia adalah kontra-budaya dari budaya remaja.

Ia budaya remaja kerana ditaja, didokong serta dihayati oleh remaja belasan tahun. Tapi kini ada juga orang tua, seperti Joe Kidd tu, yang masih berpunk dan berhati remaja – kerana dulu zaman remajanya 1980′n dia punk, sepertilah Mick Jagger yang masih ber”rock and roll “di hari tuanya sekarang ini.

Punk adalah sub-budaya kerana ia tidak mengikut arus budaya perdana. Punk ini bukan sahaja melencong dan tidak mengikut arus, punk sejati bertentangan dengan budaya perdana – kontra budaya. Jadi apa yang kita lihat dalam PROTES itu tidak lain dan tidak bukan ialah punk sejati yang menampar akal-budi awam (perdana).

Tunjuk bontot merupakan perlakuan biadab dalam norma perlakuan masyarakat kita, apatah lagi dalam suasana isu liwat ketika ini, ia mempunyai pertambahan konotasi yang menghentak jiwa. Tetapi, tidak adakah makna lain kepada bontot?

Begitu juga pada lirik. Dalam lagu punk, sememangnya pun lirik tak jelas kedengaran. Dalam stadium perhimpunan PROTES lalu, yang kedengaran hanyalah “Jilat! Jilat! Jilat!…” Ini sangat menampar akal-budi orang ramai. Dalam minda awam normal, perkataan jilat itu terus sahaja secara spontan dikaitkan dengan aktiviti seks, tak terbayang pun aksi aiskrim yang biasanya dijilat dan dikulum!

Sekarang mari pula kita cuba baca kata-kata yang dinyanyikan:

    • MARI NYANYI MENJILAT
    • Wahai pemuda, wahai pemudi
      Jadilah kamu rakyat yang berbakti
      Kami berjanji akan tepati
      Semua impian yang anda hajati
    • Rumah yang besar, kereta yang mewah
      Semuanya ada di tangan anda
      Hidup yang senang penuh jaminan
      Jangan bertanya, serahkan pada saya
    • Jilat, jilat, mari semua menjilat
      Jilat, jilat, jilat sampai berkilat
    • “Macamana? Ada berani ka? Ini tawaran hanya sekali braders and sistas! Apa tunggu lagi, kami tak tipu punya, Ini real, ori punya! Gerenti kaya-raya! Mari, mari!”
    • Jilat, jilat, mari semua menjilat
      Jilat, jilat, jilat sampai berkilat
    • Wahai pemuzik, underground rockers,
      Jangan bermimpi, jangan idealistik
      Kalau nak kaya, nak jadi rockstar,
      Marilah mari, sain kontrak kami,
    • Nak masuk radio, masuk MTV
      Kenalah kamu menari macam kami
      Tengoklah saja, Carburetor Dung
      Cakapnya besar, tak kaya-kaya
    • Jilat, jilat, semua nyanyi menjilat
      Jilat, jilat, mari semua jilat
      Jilat, jilat, jilat
      jangan tak jilat
      Jilat, jilat,
      jubur korporat sedap!
      • © 2004 Carburetor Dung

Tidaklah perlulah dihayati lirik lagu ini sebagaimana kuliah kajian puisi di universiti. Ianya jelas menempelak industri muzik arus perdana. Intipartinya: kalau hendak kaya harta benda dan hidup mewah senang lenang, jual jati diri dan ikut sajalah arahan penerbitnya – badan korporat seperti Sony, Warner MUsic dan agen-agennya.

Ampulah mereka itu, jilatlah! Ganjarannya lumayan, meskipun produk yang mereka keluarkan itu busuk, sebusuk yang keluar daripada bontot..Inilah konteks perkataan ‘jilat’ dan tunjuk bontot persembahan punk Carburator Dung.

Orang yang bukan punk pun selalu guna perkataan jilat dengan maksud yang sama. Di bawah ini diturunkan cebisan respons pembaca dalam blog Chegubard:

    Menurut ceritonyo….. Si Ejam ni lor yang perkenalkan dio pada si Najib (Najib lagi…. Altantuya pon dio…)
    Hek eleh…. tak kan lo nak mintak biasiswa pon keno jumpa najib???
    Kan pegawai dio banyok…. Takkan ler sonang2 nak jumpo dio…
    Dah ler ko ni kat U kantoi…..
    Si Ejam ni…. dia sokarang… sanggup buek apo sajo…. Kasut Pak Lah dia jilat… kasut Najib dio jilat… Kasut KJ pun dio jilat…. Almaklum… nak ambik kepocayaan orang2 beso UMNO…

Tentang muzik yang hiruk-pikuk pula. Bayangkan bunyi saban hari yang menyumbat masuk telinga anak-anak yang membesar di sebuah unit flat di bandar-bandar: terdengar dengusan ohh..ahh..ohh..ahh ibu dan bapa bersenggama, adik bayi meraung mahukan susu, kereta-lori mengaum dari lebuhraya, ketukan cerucuk berdentom mendiri pangsa, jiran bergaduh bertengkar, gelombang bunyi telivisyen dan hi-fi tak menentu irama dan suara datang dari segenap penjuru.

Mana ada Beethovan atau Mozart. Keroncong pun jauh sekali. Tidak ada kedengaran bunyi angin yang menderu, jika ada dahan jatuh menimpa batu pun tidak kedengaran. Pokok kelapa tiada, pokok durian tiada – bagi anak-anak ini bunyi buah luruh pun tak tahu bagaimana bunyinya.

Dalam suasana bunyi dan suara yang caca-marba, anak-anak ini dibesarkan. Jadi, kalau muzik remaja punk hingau-bingau layaknya, itu mencerminkan kehidupan mereka, kehidupan masyarakat yang dikonstruk oleh negara. Ia menepati ungkapan bahawa seni merupakan bayangan masyarakat. Seni kita wajah kitaI

Yakni, muzik dan gaya hidup punk itu adalah hasil yang timbul dari proses masyarakat kita sendiri. Persekolahan, keluarga, media, budaya (arus perdana) dan tradisi serta institusi sosial yang lainnya dipandang oleh remaja tidak telus dan penuh dengan kepuraan – menyimpang dan bertentangan dari realiti pengalaman hidup remaja. Manakala nilai dan norma yang ditunjuk ajar oleh ibu-bapa, orang tua, pemimpin masyarakat, ketua agama, ahli politik dan elit masyarakat dirasakan oleh remaja mengongkong dan hipokrit. Bagi mereka semua orang itu, cakap tak serupa bikin: pencegah rasuah terima rasuah, polis merogol, pencegah maksiat ditangkap khalwat, ustaz memperkosa dara sunti, hakim terima sogokan, badan korporat merompak dana negara/negeri….

Maka itu, dalam proses pensosialan generasi baru yang dicanaikan masyarakat supaya remaja kononnya untuk menjadi harapan bangsa dan menjadi pemimpin masa hadapan, ada remaja yang nampak akan kepincangan usaha itu. Mereka inilah remaja punk!

Bila berhuma di bukit menanam padi, jangan panik ada lalang yang tumbuh.

Yunus Ali adalah seorang aktivis sosial dan ahli sosiologi.


nota : tulisan asal di ambil daripada : http://aminiskandar.wordpress.com