04 April 2006

PEN[DAHULU]AN?
1. Akhirnya GOBLOG! berada di tangan anda. GOBLOG! merupakan sebuah buku koleksi tulisan blog oleh 12 orang penulis bebas web-blog. Buku yang tercipta hasil inisiatif 12 orang penulis yang terdiri daripada anak muda yang rata-ratanya masih bergelar pelajar. 12 anak muda yang datang dari latar belakang politik yang berbeza; namun mempunyai minat yang sama.

2. Idea asal menerbitkan buku ini tercetus setelah saya merasakan: sudah sampai masanya untuk zine dibaca oleh semua golongan masyarakat. Mungkin ramai yang tidak tahu apa itu zine. Secara asasnya, zine merupakan buku yang dikeluarkan sendiri oleh penulisnya. Bermula dari proses menulis isi zine, mereka-letak [lay-out] zine, mencetak zine, mengiklan dan mempromosi zine, sehinggalah kepada proses memfotostat dan mengedarkan zine tersebut. Semua proses-proses ini dilakukan sendiri oleh pembuat zine dengan kudrat dan inisiatif masing-masing. Membuat zine sebetulnya bukan suatu perkara remeh. Ianya soal: kebebasan. "selama ini, zine hanya popular dikalangan komunitas punk/hardcore, tapi tidak di publik yang lebih luas, sementara sebenarnya secara karakteristik, tak ada beza antara zine yang biasa diedarkan oleh anak-anak punk/hardcore dengan buletin-buletin Jumaat di masjid-masjid "


3. Web-blog merupakan medium penulisan terkini. Semakin hari semakin ramai penulis web-blog yang muncul. Ini kerana, untuk membina web-blog adalah sangat mudah, malah untuk mengemaskini juga mudah. Kebanyakan penulis blog akan menulis apa saja yang mereka rasakan perlu untuk dikongsi baca bersama teman-teman. Dan kebanyakan mereka menulis tentang kehidupan seharian mereka. Penulisan tentang kehidupan peribadi. Ya! Ini yang saya mahukan untuk GOBLOG! “hidup adalah perjuangan mencari diri sendiri” – Fauz Noor, Tapak Sabda

4. Buku ini sememangnya mengekalkan tulisan asal sepertimana para penulis menulis artikel di web-blog mereka. Jadi, segala kesalahan ejaan, kesalahan tatabahasa, kesalahan struktur ayat dan apa jua kesalahan yang terdapat dalam buku ini sememangnya disengajakan. Ya pastinya terlalu formal itu kadang-kadang agak membosankan. Jadi, santai aja dong!

5. Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepad semua yang terlibat dalam menjayakan buku ini. Terima kasih kepada En. Basri+Geng Jurnal, Ruhayat X, Fathi Aris Omar, [penulis kata pengantar], Nazier, Dean, Novianto Rachman, dan Zairi. Tidak dilupakan juga kepada semua penulis dan kepada semua teman-teman yang banyak membantu. Terima kasih kepada anda juga yang sanggup berkorban [duit+masa] untuk membeli dan membaca buku ini. Untuk sebarang komunikasi sila hubungi kami di web-blog penulis masing-masing atau kunjungi kami di http://www.goblog2006.blogdrive.com/



sang penyelenggara:
[Dhani Ahmad]

No comments: